Kes dana SRC kedua Najib didengar setelah selesai semakan sabitan

0
282

MAHKAMAH Tinggi hari ini menetapkan 29 Nov untuk sebutan semula kes Datuk Seri Najib Tun Razak berkaitan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) membabitkan RM27 juta. 

Hakim Mohamed Zaini Mazlan memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya ditetapkan tarikh sebutan lain bagi kes itu, sementara menunggu permohonan semakan Najib untuk membatalkan sabitan dan hukuman terhadap kesalahan penyelewengan RM42 juta dalam dana SRC. 

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul berkata pengurusan kes pertama permohonan semakan Najib itu telah ditetapkan pada 21 Oktober ini di Mahkamah Persekutuan.  

“Saya dengan rendah hati memohon tarikh sebutan lain untuk kes SRC yang melibatkan RM27 juta ini sementara menunggu selesainya semakan itu. Kami menjangkakan semakan akan didengar pada November atau Disember (tahun ini) tetapi jika mahkamah cenderung untuk membenarkannya, saya secara peribadi berpendapat ia tidak akan dilakukan pada masa itu,” kata Mohd Ashrof. 

Peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah yang mewakili Najib berkata pasukan pembelaan telah menghantar surat kepada Mahkamah Persekutuan untuk meminta tarikh pengurusan kes lebih awal untuk semakan kerana keperluan mendesak dikaitkan dengan isu asas kes itu. 

“Saya tiada bantahan (untuk mahkamah menetapkan satu lagi tarikh sebutan bagi kes SRC membabitkan RM27 juta) kerana ia mempunyai kaitan dengan kes pertama (kes RM42 juta dana SRC), ia hanya logik. Saya beranggapan menjelang November, Mahkamah Persekutuan sepatutnya mendengar akan mendengarnya (semakan),” kata peguam itu. 

Hakim Mohamed Zaini berkata kedua-dua pihak boleh menulis surat kepada mahkamah sekiranya terdapat sebarang perkembangan mengenai permohonan semakan itu. 

Sebelum ini, perbicaraan telah ditangguhkan menunggu selesainya rayuan kes RM42 juta dana SRC. 

Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah RM27 juta, didakwa hasil daripada aktiviti yang menyalahi undang-undang, dalam tiga akaun AmPrivate Banking miliknya. 

Najib didakwa melakukan perbuatan itu di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan, pada 8 Julai 2014. 

Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. 

– BERNAMA 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here