Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
45 PATI warga Bangladesh, Myanmar diberkas -

45 PATI warga Bangladesh, Myanmar diberkas

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

JABATAN Imigresen Pulau Pinang menahan seramai 45 pendatang asing tanpa izin (PATI) atas pelbagai kesalahan dalam serbuan di sebuah kilang membuat plastik dan kotak di Juru hari ini.

Dalam operasi yang turut disertai Pengarah Imigresen Pulau Pinang, Shah Inor Shahbudin itu, terdapat beberapa PATI cuba melarikan diri ke dalam semak namun berjaya diberkas anggota penguat kuasa.

Menurut Shah Inor, kesemua PATI yang ditahan termasuk beberapa wanita berusia antara 20 hingga 35 tahun itu merupakan pekerja warga asing dari Myanmar dan Bangladesh.

Katanya, mereka yang ditahan disyaki melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan pas lawatan, tinggal lebih masa dan sebagainya.

Sehubungan itu jelas beliau, kesemua yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Sasatan lanjut mendapati ada dalam kalangan PATI ini telah bekerja di kilang itu sejak tiga tahun lalu, manakala sebahagian yang lain baru bekerja antara tiga bulan lalu,” katanya kepada pemberita selepas operasi itu hari ini.

Dalam pada itu, beliau tidak menolak kemungkinan PATI berkenaan masuk ke negara ini melalui ‘jalan tikus’ memandangkan mereka tidak dapat memberi jawapan tepat berkenaan cara mereka masuk ke negara ini.

Ujarnya, kesemua tahanan itu dihantar ke Pusat Tahanan Ibu Pejabat Imigresen Pulau Pinang di Seberang Jaya untuk siasatan lanjut.

Dalam masa sama, beliau menjelaskan, majikan yang menggajikan pekerja asing itu juga akan disiasat dan dikenakan tindakan sekiranya gagal menyediakan kesemua dokumen berkaitan pengambilan pekerja berkenaan dalam tempoh yang ditetapkan. – SB