DUA gol jaringan penyerang dari Brazil Bergson da Silva, membantu Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan kemarau empat tahun tanpa gelaran Piala FA, selepas menumpaskan Terengganu FC 3-1, pada aksi final musim 2022 di sini, hari ini.
Lebih manis, selain menamatkan kemarau kejuaraan Piala FA, ini juga merupakan kejayaan pertama ketua jurulatih baharu JDT dari Venezuela Hector Bidoglio, selepas bekas pengendali mereka Benjamin Mora, meninggalkan pasukan berkenaan atas urusan peribadi, Julai lepas.
Kali terakhir JDT menjuarai Piala FA adalah pada 2016 selepas menundukkan PKNS FC 2-1. Piala FA 2020 dan 2021 dibatalkan susulan pandemik COVID-19.
Bermain di hadapan 84,321 penonton di Stadium Nasional Bukit Jalil, JDT yang turun dengan reputasi selaku juara bertahan Liga Super, melaungkan amaran awal apabila percubaan deras pemain sayap lincah Arif Aiman Mohd Hanapi, terkena tiang sebelah kanan TFC pada minit ke-11.
Tatkala JDT kian mendapat rentak perlawanan, TFC memperoleh peluang keemasan menjaringkan gol pembukaan namun ketua pasukan Kipre Tchetche, gagal memanfaatkan serangan balas pasukannya selepas sepakan dari jarak dekat dinafikan penjaga gol berpengalaman, Mohd Farizal Marlias pada minit ke-25.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.