Otai Reformis kecewa dengan Anwar, MB Selangor

KUMPULAN penyokong Anwar Ibrahim, Otai Reformis dan Gabungan Pertubuhan Bukan Kerajaan Alam Sekitar (COEN) terkejut dan kecewa dengan keputusan kerajaan negeri Selangor pimpinan Pakatan Harapan (PH) yang telah bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk tujuan pembangunan.

Menurut setiausahanya, Abdul Razak Ismail, tindakan kerajaan negeri Selango yang meluluskan perkara itu seolah-olah tidak mendengar bantahan lebih 50,000 rakyat termasuk masyarakat tempatan, Orang Asli dan NGO alam sekitar.

Mereka turut mengesali keputusan yang dibuat sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November tahun lalu untuk mempertahankan hutan simpan itu dilanggar.

“Otai Reformis kesal kerana pada sidang DUN November tahun lepas, dewan telah meluluskan usul untuk pertahankan hutan simpan tersebut secara sebulat suara tanpa sebarang bantahan.

“Keputusan kerajaan negeri Selangor ini telah menafikan suara dan inspirasi rakyat Selangor yang prihatin dengan penjagaan hutan dan alam sekitar,” katanya kepada Free Malaysia Today.

Mereka juga menzahirkan rasa kecewa dengan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana gagal menasihatkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang juga dari partinya sendiri.

“Otai Reformis dan COEN telah menulis ‘surat rayuan’ untuk mendapatkan campur tangan Anwar pada April untuk menghalang nyahwarta tersebut tapi nampaknya Anwar ‘gagal untuk menasihati’ menteri besar dari partinya untuk lebih prihatin dengan desakan pelbagai pihak untuk menghalang nyahwarta hutan tersebut.

“Otai beranggapan menteri besar sedang bermain dengan api kemarahan rakyat Selangor dan kegagalan serta kelemahan Anwar untuk ‘bertindak tegas’ terhadap MB Selangor dari partinya sendiri memperjelaskan mengapa PH gagal mendapat ‘command majority’ dalam beberapa usaha menawan semula Putrajaya,” katanya.

Terdahulu, Exco Alam Sekitar Selangor, Hee Loy Sian pada Isnin memaklumkan, kerajaan negeri Selangor bersetuju menyahwartakan 536.7 hektar Hutan Simpan Kuala Langat Utara (KLNFR) untuk dibangunkan.

“Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Exco pada 5 Mei lalu berdasarkan Seksyen 12 Akta Perhutanan Negara 1984,” katanya.

Penyahwartaan itu diputuskan pada Mei lalu tetapi hanya didedahkan minggu ini pada sidang Dewan Undangan Negeri Selangor.

Usaha untuk membangunkan tanah kawasan tersebut dibantah hebat NGO alam sekitar dan masyarakat Orang Asli.–SB