Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Polis cari pemandu ludah kereta orang -

Polis cari pemandu ludah kereta orang

POLIS sedang mengesan seorang pembuli jalan raya yang meludah kenderaan seorang wanita di persimpangan Jalan Lapangan Terbang Lama menghala ke Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.

Insiden pada Rabu itu dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati lelaki terbabit yang memandu sebuah PERODUA Myvi terhadap cara pemanduan mangsa yang turut memandu kenderaan jenis sama.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor, berkata lelaki berusia 20-an itu dikatakan mengekori kenderaan mangsa sebelum memotong dan memberhentikan kenderaannya secara mengejut.

“Supek yang tidak dikenali itu kemudian turun daripada kenderaannya sambil memarahi mangsa sebelum meludah pada kenderaan mangsa.

“Sehubungan itu, mangsa yang berusia 26 tahun tampil membuat satu laporan polis pada jam 2.30 petang tadi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Amihizam berkata pihak polis sudah merakam keterangan mangsa dan usaha mengesan suspek sedang dijalankan menggunakan nombor pendaftaran kenderaan yang dipandunya.

“Kita masih menyiasat motif sebenar kejadian ini, justeru kita perlu merakam keterangan suspek untuk membantu siasatan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955,” katanya.