Ismail Sabri jalani kuarantin kendiri, disahkan kontak rapat Covid-19

PERDANA Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini mula menjalani kuarantin kendiri setelah disahkan kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Sehubungan itu, beliau tidak akan menghadiri istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Simpan Rahsia Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri Persekutuan, di hadapan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada petang ini.

Bagaimanapun, menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri, Ismail Sabri akan menyertai secara maya sambutan Hari Kebangsaan 2021 yang dijadualkan berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya, esok,

Semalam, Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II juga disahkan positif COVID-19.

Beliau yang dijadualkan mengangkat sumpah bersama anggota Kabinet yang lain di Istana Negara, petang ini juga tidak dapat berbuat demikian. – SB