Maritim Malaysia agih 30 bot pemintas diterima ikut keperluan

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) akan mengagihkan 30 bot jenis Rigid Hull Fender Boat (RHFB) Kelas Perkasa bernilai RM46.5 juta yang diterimanya mengikut keperluan tugas dan operasi di setiap negeri.

Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Mohd Zubil Mat Som berkata, sehingga kini 27 bot baharu berukuran 12 meter panjang itu sudah diterima dan akan dimanfaatkan sepenuhnya dalam usaha memperkasa penguatkuasaan di perairan negara.

Beliau berkata, katanya 27 daripada 30 bot itu akan diagihkan kepada Maritim Semenanjung Malaysia termasuk tujuh bagi Johor, enam bagi Kedah dan Perlis, tiga untuk Perak serta masing-masing dua bagi Melaka dan Negeri Sembilan, Selangor, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu, selain satu untuk Kelantan.

“Baki tiga lagi bot akan diterima pada Ogos depan dengan dua daripada diagihkan untuk kegunaan Terengganu dan baki satu lagi untuk Kelantan.

“APMM juga dijangka menerima aset baharu termasuk enam unit helikopter dan kapal logistik pelbagai guna dalam tempoh beberapa tahun lagi,” katanya ketika sidang media sempena penyerahan RHFB Kelas Perkasa kepada Maritim Malaysia di Berjaya Waterfront Hotel di sini hari ini.

Pada majlis sama, beliau turut menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Shaiful Lizan Ibrahim bersama Pengerusi DALAC Marine Engineering dan Services Sdn Bhd, Datuk Pahlawan Zakaria Yusof.

Mengulas keperluan aset terbabit, Mohd Zubil berkata, pihaknya percaya penerimaan RHFB itu mampu memperkukuhkan pengoperasian penguatkuasaan dan operasi mencari dan menyelamat di sepanjang perairan Semenanjung Malaysia, selain menggantikan bot sedia ada yang sudah menjangkau usia 17 tahun.

“Bot pemintas sedia ada akan dilupuskan secara berperingkat dan digantikan dengan bot baharu berukuran 12 meter panjang dengan tiga enjin berkapasiti 350 kuasa kuda setiap satu yang boleh mencapai kelajuan maksimum 48 knot.

“Bayangkan bot yang menceroboh perairan atau melakukan kegiatan haram memiliki sehingga lima enjin, ia menimbulkan kesulitan bagi anggota Maritim Malaysia mengambil tindakan dengan pantas atau memintas sebelum ini.

“Bot ini memiliki reka bentuk stabil dan mudah dikendalikan selain platform senjata bagi kegunaan anggota mengendalikannya ketika di atas bot,” katanya lapor BH Online.

Dalam pada itu, beliau berkata Maritim Malaysia merekodkan nilai rampasan RM55.8 juta dengan 442 tangkapan membabitkan pelbagai kesalahan sejak awal tahun ini hingga 10 Jun lalu.

Katanya, ia hasil 76,026 pemeriksaan dijalankan pihaknya selain 12,764 penggeledahan yang dilakukan bagi tempoh berkenaan.

“Sepanjang tempoh sama juga, kita merekodkan 46 kes pencerobohan bot nelayan asing yang membabitkan 405 kru, selain 80 kes berkaitan Akta Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO), 31 kes membabitkan penyeludupan dadah, ketum dan rokok, serta 93 kes penyeludupan pelbagai termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.