Pelajar sekolah lemas cuba selamat rakan tergelincir

0
523
GAMBAR HIASAN

SEORANG pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli ditemui lemas ketika mahu menyelamatkan seorang rakannya yang tergelincir ketika bermandi-manda di Lata Guling, Jeli, Kelantan pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Ahmad Ariffin berkata mangsa, Nor Aina Mohd Nasir, 17 yang berasal dari Kampung Pasir Dusun bersama dua rakannya ke tempat kejadian pada jam 2.30 petang untuk mandi, mengikut laporan Bernama.

“Kira-kira 3.05 petang, rakan Nor Aina, iaitu Rosmaidayu Mohd Rasyid, 17 yang turun untuk mandi lata itu tergelincir.

“Melihat keadaan itu, Nor Aina telah bertindak untuk cuba menyelamatkan Rosmaidayu, namun dia turut dihanyutkan air dan tenggelam,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya lagi, Rosmaidayu berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung namun Nor Aina gagal ditemukan.

“Pada 3.35 petang, mangsa dijumpai abang kandungnya selepas melakukan selaman di kawasan kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Jeli untuk proses bedah siasat,” katanya.