PRU ketika inflasi pentingkan diri sendiri, tak fikir rakyat – Nazri

AHLI parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Nazri Aziz menyifatkan segelintir ahli politik yang menggesa Pilihan Raya Umum (PRU) diadakan ketika negara berdepan masalah inflasi sebagai mementingkan diri dan tidak peduli rakyat.

“Kita perlu cari jalan untuk mengatasi inflasi dan memastikan rakyat ada wang yang cukup untuk menyara kehidupan.

“Itu lebih penting berbanding mementingkan diri sendiri secara politik dengan merasakan ini waktu yang sesuai untuk PRU,” katanya kepada Malaysiakini pada Selasa.

Selain itu, beliau turut menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Yaakob yang mengeluarkan satu kenyataan bahawa dia menunggu ‘masa yang sesuai’ untuk membubarkan Parlimen dalam satu wawancara bersama Nikkei Asia Selasa lepas.

“Saya setuju dengan perdana menteri. Keutamaan kita sekarang adalah kesusahan rakyat dan kita semua tahu inflasi berlaku sekarang, jadi kita kena utamakan rakyat,” katanya.

Mengulas lanjut, Nazri turut memberi kritikan terhadap pihak dalam parti UMNO yang berpendapat ini merupakan waktu yang sesuai untuk mengadakan PRU.

“Jika itu yang anda fikir, yang inflasi bukan perkara penting dan pilihan raya lebih penting, itu mementingkan diri sendiri.

“Ahli parlimen dari kedua-dua pihak kini menyokong perdana menteri jadi tiada sebab langsung untuk buat pilihan raya,” katanya.

Beliau juga berpendapat kedua-dua pihak perlu bersedia untuk menangguhkan pilihan raya walaupun perlu menunggu hingga tempoh akhir penggal ini.

Sebelum ini, Datuk Seri Ismail Sabri menyatakan bahawa sekarang bukanlah tempoh sesuai untuk menjalankan pilihan raya melihat kepada kadar inflasi yang kian meningkat.

Bagaimanapun, Konvensyen Barisan Nasional (BN) yang diadakan pada Rabu tidak menolak kemungkinan sekiranya terdapat desakan dan gesaan mempercepatkan PRU-15 dalam kalangan parti itu sendiri.