PIHAK polis menahan seorang jurulatih wushu dipercayai melakukan serangan seksual terhadap dua kanak-kanak perempuan bawah umur Isnin lepas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur SAC Habibi Majinji, suspek berusia 30-an yang kini bertugas di sebuah akademi wushu di Cheras juga pernah ditahan polis daerah Kajang atas tuduhan sama baru-baru ini, menurut laporan Bernama.
Dalam kes terkini, beliau berkata suspek dipercayai melakukan kesalahan tersebut dalam dua kejadian berasingan awal April lepas.
“Mangsa berusia 12 dan 13 tahun itu mungkin berdiam diri dan membiarkan tindakan suspek ketika kejadian kerana menganggapnya sebagai jurulatih.
“Akibat ketakutan, mangsa memaklumkan kepada ibu bapa masing-masing dan laporan polis telah dibuat,” katanya pada sidang media di ibu negara, hari ini.
Mengulas mengenai modus operandi, Habibi berkata suspek akan mengajak mangsa menaiki keretanya selepas selesai latihan dengan alasan untuk bersiar-siar sebelum mencabul mangsa.
Suspek direman hingga esok bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792).
“Ketika ini kertas siasatan hampir selesai.Arahan pertuduhan akan diperoleh secepat mungkin apabila keterangan suspek mencukupi.Jika tidak, siasatan akan diteruskan dan reman mungkin disambung.
“Namun, ia perlu diselesaikan segera bagi menjaga kebajikan mangsa yang masih bawah umur,” katanya.
Buat masa ini, mangsa dijaga keluarga masing-masing dan tidak lagi mengikuti latihan di akademi itu disebabkan fobia selain status penutupan akademi masih belum diputuskan.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kajang ACP Mohd Zaid Hassan mengesahkan penahanan suspek berhubung kes cabul pelajarnya berusia 13 tahun pada 11 hingga 19 Februari lalu di sekitar Taman Kajang Mewah, Kajang.
Habibi turut mendedahkan terdapat empat kes melibatkan suspek yang masih disiasat iaitu di Kuala Lumpur dan Selangor.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.