4 remaja ditahan jual surat MITI, majikan palsu

POLIS Johor menahan empat remaja dipercayai memalsukan surat kebenaran Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan surat pengesahan majikan sebelum dijual di laman sosial.

Sebanyak 250 dokumen dipercayai telah dipalsukan oleh suspek yang dijual dengan harga RM150 setiap satu sejak Mac lalu untuk kegunaan merentas daerah dan negeri.

Menurut Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Johor bersama JSJK Bukit Aman berjaya menahan empat remaja terrmasuk dua wanita berusia 16 hingga 19 tahun di sekitar Johor Bharu antara jam 8.30 hingga 10 malam pada 5 Ogos lalu.

Beliau berkata, suspek direman lima hari sehingga 9 Ogos manakala sejumlah telefon bimbit dan kad ATM dirampas dalam serbuan itu.

Katanya, sindiket yang beroperasi sejak Mac lalu itu mengiklankan perkhidmatan terbabit di Instagram, Facebook serta WeChat, selain turut mengubah suai surat kelulusan MITI sebuah syarikat yang beralamat di Kempas, Johor bagi mengelirukan pihak berkuasa.

“Suspek menerima komisen antara RM50 hingga RM100 bagi setiap dokumen dan dipercayai dijual di seluruh Semenanjung.

“Polis percaya ada pembabitan orang dalam dengan kegiatan ini,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Menurut Ayob Khan lagi, kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan, boleh dipenjara tidak kurang setahun dan maksimum 10 tahun serta boleh dikenakan sebatan dan denda.

Katanya, polis turut mengesan individu dikehendaki bersabit kes berkenaan yang dikenali sebagai Nicholas Chai Jian Han, 21 dengan alamat terakhirnya di 49, Jalan Bukit Kontang, Taman Ria, Tangkak, bagi membantu siasatan.

“Masyarakat diingatkan supaya membuat permohonan dengan hadir ke balai polis berhampiran dan atas alasan pergerakan munasabah, selain tindakan membeli dan menggunakan dokumen palsu menyalahi Seksyen 471 Kanun Keseksaan,” tambahnya.