Pulau Pinang sedia kerjasama dengan kerajaan Pusat baharu

0
304

Oleh WARTAWAN SATU BERITA

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang sedia memberikan kerjasama dalam menjayakan pendekatan ‘Bersepakat Selamatkan Keluarga Malaysia’ yang menjadi pegangan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri khususnya dalam membawa negara keluar daripada kemelut kesihatan serta ekonomi ketika ini dengan segera. 

Sambil mengucapkan tahniah atas pelantukan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow bagaimanapun turut menarik perhatian mengenai beberapa isu untuk pertimbangan lanjut kerajaan Pusat baharu.

Antaranya jelas Kon Yeow, berkenaan kekangan bekalan vaksin yang dihadapi negeri Pulau Pinang yang perlu diatasi segera memandangkan peningkatan kes harian di negeri itu yang memerlukan perhatian.

Jelasnya, gangguan bekalan vaksin Pfizer–BioNTech pada minggu kedua bulan ini turut memberi impak kepada pengoperasian Pusat Pemberian Vaksin (PPV) serta janji temu secara keseluruhan. 

“Sebagaimana dimohon oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang sebelum ini pada 6 Ogos 2021 kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berhubung penambahan bekalan 500,000 dos vaksin, Pulau Pinang hanya memperoleh penambahan bekalan sebanyak 210,000 untuk bulan Ogos 2021.

“Justeru, sudah tiba masanya supaya tumpuan turut diberikan kepada keperluan negeri-negeri di luar daripada program Greater Klang Valley (GKV) demi meningkatkan kadar vaksinasi semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, Kon Yeow turut berharap kelengkapan dan kemudahan perubatan untuk Pulau Pinang dipertingkat segera termasuk penubuhan pusat-pusat perubatan yang perlu diberikan perhatian khusus. 

Katanya, kelengkapan dan kemudahan itu termasuk keperluan logistik kepada para pesakit dan personel perubatan, bekalan makanan dan lain-lain yang berkaitan. 

Dalam masa sama, beliau turut berharap prosedur operasi standard (SOP) dalam mengekang penularan Covid-19 dapat dikemas kini, dipermudahkan serta diselaraskan. 

“Khusus kepada kes-kes positif yang diarahkan untuk menjalani kuarantin di rumah, Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) dan Bilik Gerakan yang mana ia mampu mencegah rantaian perebakan kes COVID-19 dengan lebih berkesan sekiranya prosedur sedia ada dikemas kini,” katanya. – SB


 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here