Oleh RIZQI ZABIDI
SERAMAI 432 daripada 528 tahanan etnik Rohingya yang melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau di Bandar Baharu, Kedah kelmarin sudah pun kembali diberkas setakat pukul 6 pagi ini.
Menurut Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad, mereka yang ditahan semula itu terdiri daripada 218 lelaki dewasa, 88 wanita, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan.
“Jumlah itu menjadikan hanya 96 individu yang masih bebas ketika ini.
“Mereka yang masih belum ditemui itu terdiri daripada 76 lelaki dewasa, 9 perempuan dewasa, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin, seramai 528 tahanan daripada 664 tahanan di depot tersebut melarikan diri selepas berlaku rusuhan kecil.
Enam tahanan yang melarikan diri itu termasuk dua kanak-kanak maut selepas dirempuh kenderaan ketika mahu melintas Lebuh Raya Utara-Selatan di Kilometer 165 lebuh raya tersebut kira-kira pukul 6.50 pagi.
Mengulas lanjut katanya, buat masa ini hanya 23 saja jumlah tahanan yang masih berada di depot sementara itu.
Difahamkan lain-lain tahanan termasuk yang sudah diberkas kembali semalam, telah dipindahkan ke depot-depot lain antaranya di Semenyih, Selangor; Langkap di Perak, Machap Umboo di Melaka dan Bukit Jalil di Selangor. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.