Bantuan khas Aidilfitri penjawat awam RM500, pesara RM250 – PM

0
243
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (Gambar Fail)

BERITA gembira kepada semua penjawat awam apabila kerajaan mengumumkan pemberian Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri berjumlah RM500 setiap seorang.

Bantuan khas tersebut diberikan kepada semua penjawat awam Gred 56 dan ke bawah termasuk kakitangan di bawah skim Contract of ServiceContract For Service, Pegawai Sambilan Harian serta lantikan di bawah MySTEP.

Pada masa sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut memaklumkan, kerajaan bersetuju memberi Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada pesara kerajaan.

Menurut Perdana Menteri, pembayaran bantuan khas itu akan dibuat bersama pembayaran gaji bulan April iaitu pada 25 April ini.

Kata beliau, bantuan khas tersebut melibatkan peruntukan sebanyak RM923 juta dan memanfaatkan lebih dua juta penjawat awam serta pesara.

“Pengumuman pemberian bantuan khas kewangan Aidilfitri pada tahun ini dibuat lebih awal sebagai salah satu langkah keprihatinan kerajaan membantu mereka membuat perancangan awal dan persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri.

“Pemberian ini adalah bagi menghargai jasa dan pengorbanan penjawat awam dalam menggalas tanggungjawab menyampaikan perkhidmatan kepada Keluarga Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Perdana Menteri turut berharap pemberian bantuan khas itu dapat meringankan beban kewangan penjawat awam dan pesara.

“Kerajaan berharap pemberian bantuan khas ini dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi,” jelas beliau.