SETELAH beberapa tahun sinema tempatan ‘sepi’ akhirnya filem The Assistant arahan Adrian Teh bakal membawa nama Malaysia ke luar negara tidak lama lagi.
Filem tersebut telahpun disenarai pendek untuk bersaing dalam Far East Festival (FEFF) ke-24 di Udine, Itali pada 22 April depan.
Bagi Adrian, kejayaan tersebut begitu menggembirakan memandangkan filem berkenaan akan mendapat slot tayangan perdana sempena acara berkenaan.
“Sebagai pembikin filem, saya bangga kerana ini adalah pengiktirafan terhadap hasil kerja kami. Saya ingin berterima kasih kepada MIFFest atas bantuan dan sokongan diberi.
“Saya cukup menantikan tayangan perdana itu. Saya berharap penonton di Udine akan suka dengan filem ini. Kejayaan tidak akan dicapai tanpa kerjasama dan komitmen padu daripada pihak produksi filem.
“Tanpa usaha anda semua, kita tidak mampu menghasilkan filem unggul,” kata pengarah berpengalaman ini lagi.

Menggunakan khidmat pelakon Hairul Azreen, Iedil Dzuhrie Alaudin dan Henley Hii, The Assistant yang menelan belanja RM6 juta dianggap sebagai anjakan besar dalam sinema tempatan.
Kejayaan yang diraih itu bukan sahaja akan ‘menghidupkan semula’ bidang tersebut tetapi juga meniup semangat kepada mereka yang bertungkus lumus menghasilkan karya bermutu.
Bagi Pengerusi Malaysia International Film Festival (MIFFest), Joanne menyifatkan peluang yang diraih oleh The Assitant begitu membanggakan.
“Saya benar-benar teruja apabila dimaklumkan FEFF di Itali bahawa filem The Assistant disenarai pendek dan bakal dipertontonkan pada tayangan perdana di platform antarabangsa.
“Membawa filem Malaysia yang cemerlang memasuki visi industri filem antarabangsa sudah menjadi misi MIFFest selama ini.

“Ini adalah tahun pertama MIFFest dan FEFF bekerjasama. Kami harap kerjasama ini dapat membawa pencapaian baharu kepada industri perfileman dan televisyen di Timur dan Barat,” katanya.
Bakal menemui penonton tempatan pada 19 Mei hadapan, filem ini merupakan kerjasama antara Sony Pictures Entertainment Malaysia dan Act 2 Pictures.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.