PU Amin, TV AlHijrah panas gara-gara Kak Long 7E

HANYA kerana menjemput seorang wanita viral yang dikenali dengan nama Kak Long 7E sebagai tetamu jemputan di TV AlHijrah, nama PU Amin panas dan menjadi sasaran netizen.

Kebanyakan daripada mereka meluahkan rasa geram dan tidak berpuas bagi dengan tindakan stesen berkenaan yang memberikan ruang kepada wanita yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.

Bagi mereka, tindakan PU Amin tidak wajar dan stesen TV berkenaan juga menjadi sasaran kecaman dan sedikit sebanyak memberikan impak buruk kepada stesen berteraskan Islamik itu.

“Gila rating, akhir zaman memang yang salah akan disanjung dan yang benar diabaikan. Ustaz pun tau tentang fitnah akhir zaman.”

“Kalau orang yang bagi teladan baik tak apalah bagi ruang. Sepatutnya yang kena maki tu dipanggil sebab tunjuk tahap kesabaran yang tinggi. Dah terbalik.

“TV gila rating. Tak kisah la ustaz ke apa, tak sepatutnya buat macam ni. Makin pening dunia,” tulis beberapa orang netizen dalam media sosial.

Malah beberapa ilmuan juga turut memberikan komen termasuklah pendakwah dan pensyarah Dr Rozaimi Ramle.

MelaluinyaFacebook, dia turut membuat teguran terbuka kepada stesen televisyen AlHijrah yang sepatutnya memberi peluang kepada individu berakhlak baik.

“Kecewa dengan TV Alhijrah dengan jemputan mereka. Sepatutnya panggil pihak yang diprovokasi kerana akhlak mereka yang baik. Sekadar meluahkan perasaan,” tulisnya.

Tangkap layar hantaran di akaun Facebook pendakwah dan pensyarah, Dr Rozaimi Ramle.

Cubaan SatuBerita mendapatkan komen daripada PU Amin bagaimanapun gagal apabila panggilan tidak berjawab dan kiriman pesanan ringkas juga tidak berbalas.

Melalui semakan yang dibuat, gambar dan status PU Amin bersama wanita yang dikenali dengan nama Wan Nor Baizura itu telah dipadam.

Awal Mac lalu, nama Kak Long 7E menjadi tular kerana memarahi seorang pekerja kedai 7 Eleven akibat tidak berpuas hati anaknya dituduh mencuri.

Dia kemuadian tampil membuat permohonan maaf secara terbuka selepas menerima kecaman dan masih menimbulkan rasa kurang senang netizen.