Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
14 pemancing, empat kru hilang, bot disyaki karam di Langkawi -

14 pemancing, empat kru hilang, bot disyaki karam di Langkawi

SEBUAH bot yang dipercayai membawa empat kru dan 14 pemancing hilang selepas bot dinaiki mereka disyaki karam di kedudukan 9.4 batu nautika barat Pulau Beras Basah dekat Langkawi, Kedah, hari ini.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata insiden itu dipercayai berlaku pada kira-kira 2 petang tadi.

“Kita telah menggerakkan aset iaitu KM Tenggol, Bot Perkasa 1225 dan Bot Penyelamat 5 bagi operasi mencari dan menyelamat sebaik menerima laporan berhubung kejadian itu. 

“Maklumat berhubung kejadian itu turut disalurkan kepada Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Malaysia serta komuniti nelayan setempat,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sektor operasi telah diperluas daripada lima batu nautika hingga 10 batu nautika berikutan penemuan beberapa objek yang timbul di permukaan air seperti tong ikan, tin biskut dan gabus yang dipercayai milik bot terbabit.

“Penemuan barangan itu adalah pada jarak 4.8 batu nautika barat daya dari posisi akhir bot berkenaan dilaporkan hilang. Sehingga kini, pencarian masih dilakukan bagi mengesan bot berkenaan.

“Aset Maritim juga telah ditempatkan di sektor berkeluasan 10 batu nautika bersama aset agensi yang lain,” katanya– BERNAMA