Calon PN mampu pacu pembangunan Johor – Muhyiddin

0
257

PASUKAN calon Perikatan Nasional (PN) yang bertanding pada Pilihan Raya Negeri Johor diyakini mampu merencana dan memacu pembangunan Johor menjadi sebuah negeri yang maju.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemajuan itu seterusnya mencetuskan kemakmuran yang dapat dinikmati oleh setiap lapisan masyarakat tanpa ada seorang pun yang tertinggal atau terpinggir.

“Sehubungan itu saya menyeru seluruh bangsa Johor agar dapat menyokong dan mengundi calon Perikatan Nasional pada 12 Mac nanti.

“Inilah peluang keemasan bagi bangsa Johor untuk menubuhkan sebuah kerajaan negeri yang bersih, berintegriti, bertanggungjawab dan prihatin rakyat,” katanya dalam hantaran terbaharu di Facebook pada Sabtu.

Muhyiddin berkata, semua 56 calon PN diterima untuk bertanding pada PRN Johor 12 Mac ini selepas proses penamaan calon berakhir.

“Seperti yang pernah saya tegaskan, mereka yang dipilih mewakili PN adalah calon yang berkelayakan, berkelulusan, berpengalaman, berakhlak dan berhemah tinggi serta memenuhi kriteria yang diperlukan untuk menjadi seorang wakil rakyat.

“Setiap calon terpilih telah menjalani dan melepasi proses tapisan yang ketat bagi memastikan mereka bersih daripada sebarang salah laku, bebas daripada kes mahkamah seperti rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa,” katanya.

Muhyiddin berkata, semua calon PN akan menandatangani aku janji dan mengangkat sumpah menolak segala perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan berikrar memikul tanggungjawab serta amanah bagi membentuk sebuah kerajaan negeri yang bersih.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here