Calon PRN Johor: Iltizam PN bentuk kerajaan bersih, berintegriti

PEMILIHAN calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Negeri Johor (PRN Johor) menggambarkan komitmen luhur PN dalam usaha membentuk kerajaan yang bersih dan berintegriti di Johor.

Datuk Dr. Radzi Jidin

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr. Radzi Jidin berkata, pemilihan calon telah dibuat sebaiknya berdasarkan kelayakan, keupayaan serta keperibadian calon dalam membawa aspirasi PN yang mementingkan integriti dan ketelusan.

“Semua calon PN juga perlu mengangkat sumpah atau aku janji untuk tidak terlibat dengan rasuah dan salah laku.

“Pastinya calon-calon yang ditawarkan ini mempunyai visi dan aspirasi tersendiri dalam memacu DUN yang ditandingi serta bersama-sama membawa negeri Johor ke tahap lebih tinggi dalam semua aspek sebagaimana yang dihasratkan Pengerusi PN,” katanya.

Semalam PN mengumumkan 56 calon PRN Johor membabitkan 41 calon muka baharu, 50 calon lelaki dan 6 wanita, yang kesemuanya mempunyai kekuatan dan kelebihan masing-masing untuk memacu perubahan negeri Johor.

Dari segi agihan kerusi, Bersatu diperuntukkan 33 kerusi, Pas 15 dan Gerakan 8 kerusi.

Radzi berkata, semua calon yang dipertaruhkan PN kali ini mempunyai kredibiliti dan kepimpinan bagi membawa perubahan untuk seluruh rakyat Johor.

Beliau seterusnya mengingatkan calon PN supaya berjuang dengan ikhlas dan sebaiknya demi rakyat.

“Sentiasa patuhi SOP yang ditetapkan demi kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan bersama,” katanya.