AHLI Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mendapat sokongan sebulat suara Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk dinamakan sebagai calon Perdana Menteri.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat MKT yang berlangsung di Bangunan Dato’ Onn di Kuala Lumpur malam ini.
Perkara berkenaan disahkan oleh ahli MKT, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azalina Othman Said selepas menghadiri mesyuarat tersebut.
Sementara itu, mesyuarat bersama 42 Ahli Parlimen Barisan Nasional, yang diadakan selepas mesyuarat MKT UMNO turut bersetuju mencalonkan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri.
Antara Ahli Parlimen BN yang hadir adalah Tengku Razaleigh Hamzah (Gua Musang), Khairy Jamaluddin (Rembau), Datuk Seri Hishammuddin Hussein (Sembrong), Datuk Seri Wee Ka Siong (Ayer Hitam) dan Datuk Seri M. Saravanan (Tapah).
Mesyuarat itu juga dihadiri Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengerusi Lembaga Penasihat BN, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Turut kelihatan, Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa.
Terdahulu, Annuar menerusi posting dalam Facebooknya mendakwa lebih 69 ahli Parlimen bukan BN telah setuju untuk menyokong calon daripada gabungan itu untuk menjadi Perdana Menteri.
Berdasarkan kenyataan Ahli Parlimen Ketereh itu, ini bermakna BN sudah hampir mendapat sokongan majoriti di Parlimen untuk menubuhkan kerajaan.
Dengan sokongan tersebut, Ismail dijangka akan memiliki sokongan 115 Ahli Parlimen.
Jika menjadi kenyataan, jumlah itu mencukupi untuk Naib Presiden UMNO berkenaan mendapat sokongan majoriti di Parlimen.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, keutamaan baginya ialah kestabilan politik negara dan berharap keputusan yang akan dibuat Yang Di-Pertuan Agong nanti dapat mewujudkan keadaan itu.
Kata beliau, negara perlu memberi tumpuan kepada isu yang lebih penting iaitu menangani pandemik Covid-19.
“Cukup-cukuplah berpolitik,” katanya yang ditemui media selepas mesyuarat MKT malam ini.
Tegas beliau, selepas Agong membuat keputusan, semua pihak perlu memberi fokus kepada agenda negara dan bangsa.
Presiden MCA, Wee Kaa Siong pula berkata, Ahli Parlimen BN yang hadir pada mesyuarat itu telah menanda tangani surat akuan untuk menamakan calon Perdana Menteri kepada Seri Paduka Baginda.
Katanya, calon yang dipilih adalah secara konsensus dan diiktiraf oleh Ahli Parlimen BN.
Timbalan Presiden MIC, M Saravanan berkata, keputusan memilih seorang wakil dari Bn dipersetujui semua 42 Ahli Parlimen.
“Di peringkat BN semua setuju,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.