PEMIMPIN parti-parti politik negara hari ini kelihatan hadir ke Istana Negara pada tengah hari tadi.
Kehadiran mereka dimulai dengan ketibaan kenderaan yang dinaiki Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man yang memasuki Pintu Dua Istana Negara pada 1.34 tengah hari.
Menurut laporan Bernama, kenderaan kedua yang masuk selepas beliau ialah yang membawa Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Datuk Seri Mukhriz Mahathir; Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Presiden Amanah, Mohamad Sabu pula memasuki pekarangan Istana Negara melalui Pintu Dua pada 1.57 tengah hari, diikuti Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dua minit selepas itu.
Semalam, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menerima peletakan jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai perdana menteri dan jawatan seluruh Jemaah Menteri.
Seri Paduka juga berkenan untuk Muhyiddin menjalankan tugas sebagai perdana menteri sementara atau ‘caretaker’ sehingga perdana menteri baharu dilantik. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.