Kekal bertenang, tunggu pengganti baharu

TAN Sri Muhyiddin Yassin yang meletak jawatan sebagai Perdana Menteri meminta seluruh negara bertenang dan meletakkan sepenuhnya kepercayaan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih pengganti.

“Kekal bertenang. Mudah-mudahan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong diberikan rahmat kebijaksanaan untuk memilih Perdana Menteri yang baharu menurut kehendak Perlembagaan Persekutuan,’ katanya dalam perutusan khas hari ini.

Muhyiddin turut mengajak semua pihak mendoakan agar Allah SWT. sentiasa memelihara keselamatan dan keamanan negara dan mengekalkan perpaduan seluruh rakyat.

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkau kurniakanlah kerahmatan kepada kami

Engkau lindungilah keselamatan dan keamanan negara kami

Engkau peliharalah kesihatan dan kesejahteraan hidup kami

Engkau lenyapkanlah penyakit Coronavirus dari muka bumi-Mu ini, Ya Allah

Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim

Engkaulah yang mempunyai segala kepujian

Engkaulah yang berhak menerima segala kesyukuran

Engkaulah yang memiliki segala pemerintahan

Di tangan Engkau segala kebajikan

Kepada Engkaulah kembali segala urusan

Amin ya rabbal alamin.