Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan -

Langkah tidak naik tarif elektrik tunjuk kerajaan letak rakyat sebagai keutamaan

LANGKAH untuk tidak menaikkan tarif elektrik membabitkan lebih sembilan juta pengguna domestik di negara ini menunjukkan bahawa kerajaan meletakkan kebajikan rakyat sebagai perkara utama ketika ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa berkata kerajaan terkesan melihat rakyat terjejas akibat penularan COVID-19 yang membawa kepada kehilangan pekerjaan dan perniagaan serta bencana banjir baru-baru ini yang menjadi kesan tambahan kepada rakyat.

Beliau berkata bagaimanapun, keputusan yang diambil kerajaan itu adalah tidak mudah memandangkan subsidi elektrik perlu diteruskan.

“Ini dilakukan bukan mudah kerana dengan keputusan itu kerajaan perlu meneruskan subsidi, bukan tidak naik bererti tiada kos kepada kerajaan, tidak.

“Apabila tidak naik ertinya kerajaan perlu ambil satu duit lain, dana lain untuk memberikan subsidi supaya Tenaga Nasional Bhd (TNB) kekal sebagai satu penjana yang ‘viable’. Jangan pula ia mengalami bankrap dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program temu bual Johor FM di Radio Televisyen Malaysia (RTM) Johor, di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datuk Mokhtar Hussain dan Ketua Pengarah Penyiaran Malaysia Datuk Che Roslan Che Daud.

Menurut Annuar, selepas TNB membuat pengesyoran untuk menaikkan tarif melibatkan pengguna domestik berikutan kenaikan harga bahan api, Kabinet telah mengadakan enam siri perbincangan yang membawa kepada keputusan pada Rabu lepas bahawa kerajaan bersetuju mengekalkan kadar tarif elektrik.

“Kita kena tengok pelbagai sudut, pemegang saham, kedayahidupan TNB itu sendiri. Tetapi setelah berbincang panjang lebar, Jemaah Menteri di bawah Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berpandangan tidak boleh dinaikkan tarif,” kata Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung pengumuman Ismail Sabri semalam, mengenai kerajaan memutuskan untuk tidak menaikkan tarif elektrik lebih sembilan juta pengguna domestik.

Ismail Sabri dipetik sebagai berkata subsidi elektrik sebanyak lebih RM700 juta juga akan diteruskan agar pengguna domestik tidak terkesan.

— BERNAMA