PRESIDEN PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumpamakan tindak tanduk UMNO pada hari ini seperti itik patah kaki yang mahu berenang sendiri setelah sembuh.
Beliau berkata, sikap seumpama itu tidak bermoral dan tidak betul.
“Tapi malangnya, kita bukan nak ajar itik berenang. Kita nak selamatkan itik yang patah kaki. Ada yang patah kaki, pilihan raya (ke) 14.
“Kita selamatkan itik yang patah kaki ini, bukan nak ajar berenang. Dia patah kaki.
“Malangnya bila kakinya dah pulih, dia nak berenang sendiri. Nak tinggal kita. Jadi, itu satu benda yang tidak bermoral dan tak betul,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah dhuha di Marang Terengganu pada Jumaat.
Terdahulu Abdul Hadi menegaskan, rasional Bersatu dimasukkan di dalam agenda Muafakat Nasional (MN) yang ditubuhkan untuk menyatukan ummah.
Abdul Hadi berkata MN sepatutnya dianggotai sama oleh Bersatu dan parti-parti bukan Melayu.
Katanya, perkara itu sudah pun dipersetujui sebelum ini bagi menggantikan BN yang menurutnya tidak lagi relevan.
“Kalau PAS dan UMNO sahaja, perpaduan Melayu sahajalah. Mana kaum lain? Mana orang lain?” soalnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.