Covid-19: Tujuh sekolah ditutup di Johor

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBANYAK tujuh buah sekolah di Johor ditutup susulan beberapa murid dan guru positif Covid-19.

Menurut Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Aman Rabu, penutupan itu dilakukan dalam tempoh sekurang-kurangnya tujuh hari.

Penutupan itu bagi siasatan dan kawalan Covid-19 dilakukan Pejabat Kesihatan Daerah serta mengenal pasti kontak rapat dengan segera.

“Arahan penutupan sekolah itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988, bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, Mazlan Bujang berkata, tiga sekolah melibatkan daerah Johor Bahru iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Nong Chik, SK Larkin 1 dan Kolej Vokasional Tanjung Puteri.

“SK Nong Chik ditutup bermula 17 hingga 27 Januari, melibatkan tiga murid dan dua guru positif manakala SK Larkin 1 ditutup bermula 22 hingga 28 Januari, melibatkan dua murid dan lima guru positif,” katanya.

Sementara KV Tanjung Puteri pula ditutup 21 hingga 27 Januari dengan empat murid positif, katanya. – SB