BEBERAPA buah negeri mula menampakkan beberapa perkembangan positif daripada Program Imunisaisi COVID-19 Kebangsaan (PICK) menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Perdana Menteri berkata, perkembangan positif itu melibatkan Wilayah Persekutuan Labuan, Sarawak, Negeri Sembilan dan negeri-negeri Lembah Klang (Selangor, WP Kuala Lumpur dan Putrajaya), dengan Labuan mencatatkan sifar kes semalam.
Katanya, ketika sidang media pada 13 Ogos lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan, Operasi Lonjakan Kapasiti di Lembah Klang sejak 26 Julai menyaksikan kadar kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital bagi semua kumpulan umur mula menunjukkan penurunan.
“Data yang dikumpul oleh KKM menunjukkan bahawa setakat ini, kesemua negeri yang dinyatakan telah mula menunjukkan penurunan bilangan kes bagi kategori 3 hingga 5 apabila liputan dos lengkap vaksin COVID-19 bagi populasi dewasa (18 tahun dan ke atas) telah melebihi 40 peratus.
“Pada masa yang sama, data daripada Crisis Preparedness Response Centre (CPRC) bagi Hospital menunjukkan situasi di Jabatan Kecemasan di Lembah Klang juga bertambah baik.
“Contohnya purata pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan untuk ditempatkan ke wad pesakit bagi hospital KKM di negeri-negeri Lembah Klang telah menurun,” katanya lagi.
Menurut beliau, purata sehari pesakit yang menunggu di Jabatan Kecemasan adalah 909 orang pada 31 Julai 2021.
Beliau turut menambah, dengan hasil perancangan rapi Kerajaan dan pelaksanaan strategi oleh KKM serta kesan vaksinasi, purata sehari pesakit yang menunggu telah menurun kepada 239 orang pada 13 Ogos 2021.
“Saya amat berharap agar trend penurunan ini akan berterusan dan dapat mengurangkan beban kes COVID-19 yang serius serta kemasukan pesakit ke Unit Rawatan Rapi (ICU).
“Walau bagaimanapun, kapasiti pesakit di ICU masih lagi penuh memandangkan rawatan pesakit di ICU adalah jauh lebih rumit dan memakan tempoh lebih panjang berbanding di wad biasa,” katanya lagi.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.