Putera Andrew hilang gelaran tentera, naungan diraja

DALAM satu kenyataan ringkas yang dikeluarkan pada Khamis, Istana Buckingham berkata bahawa “Dengan kelulusan dan persetujuan (Ratu Elizabeth II), gelaran ketenteraan dan naungan diraja Duke of York telah dikembalikan kepada Ratu,” lapor Xinhua.

Kenyataan itu menyebut Duke Of York, Putera Andrew, “tidak lagi akan menjalankan sebarang tugas awam dan menghadapi kes itu sebagai warganegara biasa.”

Pengumuman itu dibuat ketika Putera Andrew menghadapi kes sivil di Amerika Syarikat berhubung dakwaan beliau melakukan serangan seksual terhadap seorang wanita yang ketika itu berumur 17 tahun, yang dinafikannya secara konsisten.

Duke of York itu memegang beberapa gelaran tentera kehormat berikutan perkhidmatan beliau selama 22 tahun dalam Tentera Laut Diraja, lapor Sky News.

Andrew, 61, adalah anak ketiga Ratu Elizabeth II dan Duke of Edinburgh, mendiang Putera Philip dan merupakan anak lelaki kedua kepada pasangan Diraja itu.

Duke Of York itu didakwa melakukan penderaan seksual terhadap seorang gadis remaja warga Amerika Syarikat yang dibekalkan kepadanya oleh Pengurus Dana Amerika, Mendiang Jeffrey Epstein.

Tuduhan itu telah mencetuskan kemarahan rakyat dan mendiring lebih 150 tentera laut serta veteran tentera Britain telah menulis surat kepada Permaisuri meminta Baginda melucutkan semua pangkat dan gelaran ketenteraan anak keduanya itu.

Ia selepas seorang hakim Amerika memutuskan bahawa tindakan undang-undang dakwaan serangan seks terhadap putera raja boleh diteruskan. – AGENSI