Nasib terbela, Alina Hassan terima kereta Kancil

TURUN naik perjalanan hidup penyanyi Alina Hassan, 54, mendapat perhatian umum apabila menerima sebuah kereta Kancil yang disumbangkan oleh seorang individu baru-baru ini.

Perkongsian yang dibuat oleh Syahril A Kadir melalui Facebook Garasi TV itu mengundang perhatian apabila memuat naik beberapa keping gambar Alina bersama kereta baharunya itu.

Gambar Garasi TV

“Saya sebak sangat kerana ada pembaca Garasi yang sudi menghadiahkan kereta untuk memudahkan saya keluar mencari rezeki. Hanya Allah sahaja yang mampu membalas jasa insan itu, saya hilang kata-kata,” kata Alina.

Jika ada yang mengikuti perkembangan penyanyi ini, nasibnya tidaklah sebaik penyanyi seangkatan yang lain sejak dahulu lagi.

Dia terpaksa melakukan pelbagai pekerjaan untuk menampung hidupnya di Kuala Lumpur sementelah tawaran menyanyi yang diterima semakin berkurangan hari demi hari.

Dedah Syahril lagi, Alina terpaksa membelanjakan sejumlah wang yang banyak untuk bergerak mencari rezeki menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Gambar Garasi TV

“Sewaktu diundang ke Garasi TV baru-baru ini, juara program realiti Sinaran Pasport Kegemilangan itu mengakui terpaksa membelanjakan wang yang banyak untuk menampung kos menaiki kenderaan e-hailing setiap kali hendak mencari nafkah sebagai penyanyi jalanan.

“Dia yang juga ibu tunggal kepada tiga orang anak kini menyewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang di Setapak, Kuala Lumpur dengan bayaran sewa RM124 sebulan.

“Sebelum itu, Alina menghuni bilik di sebuah rumah kedai di Setapak selain menghidap penyakit simptom keradangan dan kegatalan kulit yang dipanggil Ekzema, sejak kecil lagi,” tulis Syahril lagi.

Meskipun berhadapan dengan seribu satu kesukaran, dia berbangga apabila anak-anaknya berjaya dalam pelajaran.

Anak kedua, Muhammad Alif, 21, menghidap autisme, anak ketiga, Muhammad Amin, 19, masih melanjutkan pengajian di Matrikulasi Gambang, Pahang.

Manakala anak bongsu, Muhammad Azam, 15, menuntut di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), Kuala Terengganu.

Untuk rekod, Alina mendirikan rumah tangga dengan seorang guru manakala anak sulungnya meninggal dunia.