SEBUAH kawah misteri yang terletak di tengah padang pasir Karakum, Darvaza, Turkmenistan bakal dipadamkan setelah menyalakan api selama beberapa dekad.
Presiden Turkmenistan, Gurbanguly Berdumukhamedov telah mengarahkan pihak berkuasa berkaitan untuk memadamkan api daripada kawah berkenaan dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Katanya, keputusan itu perlu dibuat kerana menyifatkan kawah berapi yang diberi jolokan ‘Gerbang Neraka’ itu memberi kesan negatif kepada alam sekitar serta kesihatan penduduk sekitarnya.
“Kami sedang kehilangan sumber alam semula jadi berharga yang mana boleh memberikan keuntungan yang besar bagi meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya seperti dilaporkan The Sun.
Asal-usul kepada bagaimana terbentuknya kawah selebar 60 meter dengan kedalaman 20 meter itu masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.
Bagaimanapun, teori yang paling diterima adalah, kawah berkenaan terbentuk pada tahun 1971 ketika Turkmenistan masih di bawah pemerintahan Soviet.
Menurut teori, ketika sedang menggerudi minyak, sekumpulan ahli geologi Soviet secara tidak sengaja menggerudi poket gas asli sehingga menyebabkan permukaan bumi di kawasan itu runtuh dan menjadi kawah.
Mereka dipercayai membakar kawah berkenaan bagi mengelakkan gas metana tersebar ke kawasan sekitar, namun api itu tidak padam sehingga hari ini.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.