Tular langgar lari sebuah keluarga: Polis ambil keterangan suspek

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

SEBUAH keluarga termasuk dua kanak-kanak yang menaiki motosikal cedera selepas dilanggar sebuah di Kilometer (KM) 4.8 Jalan Johor Bahru – Kota Tinggi (Arah Kota Tinggi), Johor Bahru, kelmarin.

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 6 petang dan difahamkan selepas kemalangan kereta jenis Perodua Axia yang dipandu seorang lelaki meninggalkan lokasi.

Namun kejadian berkenaan sempat dirakamkan orang ramai sebelum menjadi tular dalam media sosial yang mendakwa perbuatan itu langgar lari.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Superitendan Lim Jit Huey berkata, berdasarkan laporan diterima, kemalangan itu sebuah Perodua Axia dan motosikal jenis Yamaha FZ ditunggang suami yang membawa isteri dan dua anaknya.

“Akibat kemalangan itu, penunggang motosikal, isteri dan dua anaknya mengalami kecederaan serta kini dirawat di Hospital Sultanah Aminah (HSA) di Johor Bahru.

“Sebaik berlaku kemalangan itu, pemandu kenderaan yang tidak mengalami sebarang kecederaan datang ke balai untuk membuat laporan,” katanya dalam satu kenyataan, malam tadi.

Jit Huey berkata, keterangan pemandu berkenaan telah dirakam dan siasatan kini dibuka di bawah Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Polis Daerah Johor Bahru Selatan (JBS) memohon saksi yang melihat kejadian berkenaan untuk tampil memberi maklumat di balai trafik Johor Bahru Selatan untuk membantu siasatan.

Orang ramai juga boleh menghubungi sendiri penolong pegawai penyiasat bagi kes ini di talian 019-7533893, katanya. – SB