JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan mengenal pasti tujuh lokasi panas atau ‘hotspot’ banjir di negeri ini.
Pengarahnya, Jainal @ Zainal Madasin berkata, kawasan berkenaan adalah di Gua Musang; Limau Kasturi (Gua Musang); Sungai Golok (Rantau Panjang); Machang; Tanah Merah; Jeli dan Pasir Mas.
Beliau berkata, pihaknya telah menugaskan anggota pasukan untuk melakukan pemantauan di semua lokasi berkenaan termasuk kawasan berhampiran sungai yang kerap dinaiki air.
“Kita akan tugaskan anggota ke lokasi yang dikenal pasti untuk melakukan rondaan dan pemantauan terutama di kawasan berhampiran sungai, setiap hari.
“Dengan adanya anggota yang turun padang, sekurang-kurangnya kami dapat bersedia memberi maklumat awal kepada penduduk untuk berpindah ke pusat pemindahan sekiranya berlaku banjir,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni mangsa banjir di Kampung Legeh di sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengarah Bahagian Unit Udara JBPM Penolong Kanan Pesuruhjaya, Nazili Mahmood dan Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jeli, Mohd. Adni Ibrahim.
Mengulas lanjut, Jainal berkata pihaknya turut menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri bagi mendapat maklumat mengenai paras kenaikan air sungai di negeri ini. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.