SEBANYAK 11 lagi kes COVID-19 melibatkan varian baharu Omicron telah disahkan di negara ini kesemuanya melibatkan kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan kes daripada jumlah tersebut merupakan warganegara Malaysia manakala dua lagi warganegara Nigeria.
Daripada keseluruhan kes itu, kata beliau, tiga kes dari United Kingdom (UK); tiga dari Amerika Syarikat (AS); dua dari Nigeria; dua dari Arab Saudi dan satu dari Australia.
Menurut beliau, lapan kes dikesan mempunyai gejala namun hanya pada tahap kategori 2 sementara tiga lagi tidak bergejala.
“Lima kes telah menjalani kuarantin di rumah manakala enam lagi menjalani kuarantin di pusat kuarantin.
“Kesemua kes ini sedang dalam siadatan lanjut bagi mengenal pasti punca jangkitan dan kontak rapat.
“Tujuh lagi sampel bagaimanapun tidak dapat disahkan varian Omicron memandangkan ujian jujukan genom penuh tidak berjaya dijalankan.
“Ini disebabkan tahap viral load yang rendah dalam sampel yang diterima dengan ketujuh-tujuh sampel didapati mempunyai nilai kitaran ambang (CT) yang tinggi iaitu enam sampel melebihi 30 dan satu lagi 28.47,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pengesahan terbaharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes import yang disahkan varian Omicron telah mencecah 13 kes.
Dr. Noor Hisham berkata, Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) juga telah mengesan 13 lagi kes import yang menunjukkan kemungkinan varian Omicron, semalam.
Kata beliau, pihaknya sedang menunggu keputusan pengesahan daripada jujukan genom penuh (WGS) berkaitan 13 kes berkenaan.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham turut memaklumkan sebanyak 222 kes baharu varian dilaporkan antara 11 hingga 17 Disember.
Beliau memberitahu, IMR telah mengenal pasti sebanyak 128 kes baharu varian dibimbangkan (VOC) iaitu 117 varian Delta dan 11 Omicron.
Beliau berkata, Institut Vaksin dan Genom Malaysia (MGI) pula telah mengenal pasti 48 kes baharu yang kesemuanya adalah varian Delta manakala UKM Medical Molecular Biology Institute (UMBI) juga telah mengenal pasti 46 kes baharu Delta.
“Dengan peningkatan kes import varian Omicron di Malaysia, Kementerian Kesihatan (KKM) mempertingkatkan lagi aktiviti kawalan dan pencegahan COVID-19 termasuk varian Omicron di semua pintu masuk antarabangsa dan dalam komuniti.
“KKM menggalakkan supaya setiap individu mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 agar tahap perlindungan yang optimum dapat dicapai bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di Malaysia,” jelas beliau.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.