Kluster industri Kulim berpunca daripada gagal patuhi SOP

KEGAGALAN mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di tempat kerja serta aktiviti rekreasi melibatkan kumpulan pekerja disyaki sebagai punca penularan jangkitan COVID-19 membabitkan pekerja kilang di Mukim Padang Meha, Padang Serai, Kulim dan ahli keluarga mereka.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kedah, Dr. Othman Warijo berkata penularan itu mencetuskan kluster industri iaitu Kluster Dah Meha Industri Kulim yang setakat 12 tengah hari semalam, seramai 133 individu dikesan positif virus itu.

“Ia melibatkan 97 orang pekerja dan 36 orang kontak keluarga. Taburan kes positif melibatkan empat daerah iaitu Kulim, Baling, Kuala Muda dan Sik. Kluster ini dikesan berikutan saringan kendiri yang dijalankan oleh pihak pengurusan kilang berkenaan.

“Kesemua kes adalah bergejala ringan dan telah lengkap divaksinasi, kini diarahkan menjalani kuarantin di rumah,” katanya dalam kenyataan Alor Setar pada Jumaat.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, kes jangkitan adalah terkawal dan pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kluster tersebut.
 
Menurutnya, pihak pengurusan kilang juga telah diarahkan supaya mengemas kini pelaksanaan SOP di lokasi berisiko tinggi dalam kilang berkenaan. – Bernama