“Tak adalah sampai hilang peminat kerana status bujang sudah bertukar kepada status berkahwin. Semua peminat saya okay sahaja,” tegas penyanyi Haqiem Rusli, 23 tahun baru-baru ini.
Dia memberikan jawapan tersebut ketika ditanya apakah perubahan besar yang dirasakan apabila menamatkan zaman bujang baru-baru ini.
Sementelah kebanyakan artis lelaki yang berkahwin kebiasaannya akan melalui fasa ‘peminat lari’, Haqiem pun menjelaskan perkara terebut tidak berlalu kepadanya.
“Rasanya tak berlaku hal peminat lari dah sebagainya. Kalau nak tahu sampai sekarang pun saya tidak menerima sebarang mesej yang kata sudah tak minat atau sebagainya.
“Saya percaya mereka akan berikan sokongan seperti dahulu. Bila saya umumkan mahu berkahwin dulu, ada ahli kelab peminat buatkan majlis doa selamat lagi.
“Sudah pasti saya amat hargainya,” kata penyanyi yang popular dengan lagu Mimpi ini ketika ditemui SatuBerita baru-baru ini.

Dalam pada itu, Haqiem yang baru sahaja melancarkan lagu Hitam Saksi Putih sempena pernikahannya pada 19
November lalu menegaskan tidak akan membenarkan isterinya, Anis Sofea, 19, untuk menjadi penyanyi.
Tambahnya, dia memang kerap menerima pertanyaan tersebut namun perkara tersebut tidak pernah sesekali difikirkan akan terlaksana.
Sebagai suami, dia lebih selesa jika isterinya itu hanya memberikan tumpuan kepada perniagaan restoran yang mereka usahakan daripada mencuba bidang nyanyian.
“Saya mengaku isteri mempunyai suara yang sedap. Malah, syarikat rakaman yang saya bernaung sekarang ini ada menawarkan isteri untuk merakamkan lagu.
“Cuma, saya tak berikan kebenaran kerana mahu dia fokus sahaja pada perniagaan sahaja. Biarlah sekarang ini saya seorang sahaja yang bergelar penyanyi,” jelasnya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.