Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam -

Maqis rampas 32 tan metrik kayu Akasia dari Vietnam

Oleh Abu Ubaidillah Rahman

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) menahan sebuah kontena yang membawa masuk kayu Akasia dari Vietnam di Pelabuhan Pasir Gudang, Pasir Gudang, kelmarin.

Maqis Johor dalam satu kenyataan memberitahu, hasil pemeriksaan rutin dijalankan Pegawai Penguat Kuasa Maqis pada pukul 5.30 petang menemukan kayu berjumlah 32 tan metrik yang dianggarkan bernilai RM13,653.

“Kayu tersebut ditahan untuk tindakan selanjutnya. Hasil pemeriksaan lanjut, mendapati nombor rujukan permit tidak tertera pada sijil fitosanitasi sebagaimana yang dinyatakan dalam syarat permit import.

“Perbuatan mengimport apa-apa jenis keluaran pertanian tanpa mematuhi syarat-syarat dalam permit import Maqis adalah menjadi suatu kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 15(2) Akta yang sama,” jelas kenyataan itu, hari ini.

Tambah kenyataan itu, jika disabit kesalahan, boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

Pihak Maqis sentiasa komited menjalankan penguatkuasaan di semua pintu masuk negara bagi menjamin keselamatan keluaran pertanian yang masuk ke dalam negara mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan. – SB