Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Permohonan Najib kemukakan bukti baharu didengar 7 Disember -

Permohonan Najib kemukakan bukti baharu didengar 7 Disember

PERMOHONAN Datuk Seri Najib Razak untuk membenarkan bukti baharu dikemukakan dalam rayuan bagi mengetepikan sabitan dan hukuman kes penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd yang dihadapinya, akan didengar 7 Disember ini, sehari sebelum Mahkamah Rayuan memberikan keputusan.

Mengikut semakan yang dilakukan melalui sistem mahkamah, menunjukkan bahawa permohonan Najib yang difailkan semalam melalui notis usul, akan didengar pada jam 9 pagi pada tarikh berkenaan.

Difahamkan, pendakwaan yang dinamakan sebagai responden dalam permohonan itu, akan memfailkan afidavit balasan untuk menjawab segala dakwaan Najib yang disertakan dalam afidavit sokongannya.

Najib memohon memasukkan bukti baharu dalam rayuan kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd dengan mendakwa terdapat pembabitan keluarga bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Aziz dan ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Najib melalui firma guaman Tetuan Shafee & Co memfailkan notis usul semalam dengan memohon mahkamah rayuan menerima masuk bukti baharu yang dikemukakan bagi membolehkan rayuannya didengar kembali sebelum dipertimbangkan panel hakim bagi keputusan.

Rayuan Najib terhadap sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atas tujuh tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), pengubahan wang haram dan menyalahgunakan kedudukan, akan diputuskan Mahkamah Rayuan 8 Disember ini.

Bukti baharu yang dipohon oleh Najib untuk dimasukkan bagi tujuan rayuannya ialah keterangan viva voce (lisan) bekas Ketua Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki, pegawai penyiasat SPRM Rosli Hussein dan keterangan saksi lain atau apa-apa keterangan tambahan lanjut yang berbangkit.

Rosli adalah saksi pendakwaan ke-57 dalam perbicaraan kes penyelewengan dana SRC International manakala Azam tidak pernah dipanggil memberi keterangan sama ada sebagai saksi pendakwaan atau pembelaan.

Najib dalam afidavit sokongannya berkata, beliau memfailkan notis usul itu selepas mendapati keterangan berkaitan pembabitan Zeti dan ahli keluarganya tidak dimaklumkan atau didedahkan kepada pasukan pembelaannya sebelum atau sepanjang perbicaraannya.

Najib berkata, keterangan baharu itu sekiranya tidak ‘disorok’ oleh Bank Negara Malaysia (BNM), SPRM dan pendakwaan, ia boleh menyebabkan keputusan Mahkamah Tinggi berpihak kepadanya dan mampu menimbulkan keraguan munasabah dalam kes SRC International. – SB