PIHAK Polis sedang mengesan pemandu kenderaan yang tular di media sosial pada Rabu kerana memandu di laluan motosikal dalam satu kejadian di Kilometer 29.5 Lebuhraya Persekutuan, menghala ke Shah Alam, Petaling Jaya.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, laporan polis dibuat bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Kenderaan yang terlibat adalah sebuah kereta jenis Proton Persona dengan nombor pendaftaran TAW 9338.
“Pihak polis menyeru pemilik atau pemandu kereta dan mana-mana saksi yang melihat kejadian tersebut untuk tampil bagi membantu siasatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambahnya, pihak pemilik atau saksi kejadian boleh hadir ke balai polis berhampiran atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Rozilah Hussin di talian 016-2679025.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pengguna jalan raya untuk mematuhi arahan papan tanda dan sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya bagi mengelak sebarang kejadian kemalangan.
Video berdurasi 24 saat yang tular di media sosial sejak semalam itu memaparkan sebuah kereta jenis Proton Persona berwarna kelabu dipandu di laluan motosikal sambil diekori oleh empat buah motosikal.
Video itu dirakam oleh salah seorang penunggang motosikal yang mengekori kenderaan berkenaan.–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.