TREND kes baharu COVID-19 negara melepasi paras 6,000 kes terhenti pada hari ini.
Selepas tiga hari berturut-turut kes baharu COVID-19 melepasi angka 6,000, jumlah jangkitan harian turun semula hari ini kepada 5,859 berbanding kes baharu iaitu 6,355 dikesan semalam.
Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, jumlah kumulatif COVID-19 kini sebanyak 2.581 juta.
“Pada 20 November 2021, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 5,859 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,581,747 kes.
“Maklumat terperinci akan dimuatnaik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my
“Data harian laman COVIDNOW dikemaskini sekali gus selepas tengah malam,” katanya dalam hantaran di media sosial.
Berdasarkan kepada data dikongsi Dr. Noor Hisham, trend peningkatan kes baharu COVID-19 dapat dilihat dalam tempoh tujuh hari kebelakangan ini.
Menerusi data tersebut, kes naik sebanyak tujuh peratus dengan purata harian 5,793 jangkitan dalam tempoh satu minggu.
Hanya dua negeri iaitu Perlis dan Sarawak merekodkan penurunan kes dalam tempoh sama.
Kes di Perlis turun sebanyak 49 peratus dengan purata 19 kes manakala jangkitan di Sarawak susut 30 peratus menerusi purata 308 penularan.
Sementara itu, Dr. Noor Hisham memaklumkan, kadar kebolehjangkitan atau nilai R-naught (Rt) seluruh negara turun kepada 1.01 berdasarkan kes yang dilaporkan semalam.
Kadar jangkitan itu mula menunjukkan trend penurunan sejak Selasa lalu selepas tiga hari kekal pada tahap 1.05 sebelum itu.
Kebolehjangkitan mengikut negeri pula menyaksikan Rt di Labuan merekodkan jumlah tertinggi iaitu 1.13 diikuti 1.12 di Putrajaya.
Rt di Kuala Lumpur pula mencatatkan sebanyak 1.09 manakala 1.08 di Kelantan dan 1.07 di Selangor. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.