CALON Perikatan Nasional (PN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Serkam, Ahmad Bilal Rahudin menggunakan cara lain daripada yang lain apabila menggunakan bas persiaran dua tingkat bagi menjalankan aktiviti kempen di sekitar DUN berkenaan.
Lengkap dengan pelekat poster yang meriah di sekelilingnya, bas berkenaan difahamkan berfungsi untuk memudahkan pergerakan petugas dan jentera parti dari satu tempat ke satu tempat yang lain.
Menerusi satu perkongsian video di akaun Facebook rasminya, bas persiaran dua tingkat itu begitu gah menelurusi jalan-jalan di sekitar DUN Serkam atas tujuan berkempen.
Bas berkenaan telah menarik perhatian ramai, sehingga terdapat juga warga maya mempersoalkan dari mana datangnya dana untuk mendapatkan bas dua tingkat itu.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Calon PN DUN Serkam Ahmad Bilal Rahaudin
Sehubungan itu, menerusi satu lagi perkongsian video Ahmad Bilal di Facebook, Pengerusi Zahafiz Travel & Tours Sdn Bhd, Datuk Seri Zainal Abidin Yusof tampil membuat penjelasan sebagai pemilik bas berkenaan.
“Bas ini kepunyaan saya iaitu bas Zahafiz Travel, jadi kebetulan pula dengan izin Allah, Ustaz Bilal merupakan anak angkat saya yang bertugas dengan saya, iaitu pembimbing haji dan umrah setiap tahun.
“Jadi saya bagi dia guna bas itu, sekarang bas itu tidak digunakan dan tidak membawa sesiapa, sebelum ini digunakan untuk membawa jemaah haji.
“Jadi tak timbul masalah berkenaan bas itu, bas itu saya punya. Saya bagi kepada anak angkat saya (Ahmad Bilal). Ini sumbangan saya untuk orang-orang kawasan Serkam,” katanya menerusi perkongsian video itu.
Baca berita berkaitan: [VIDEO] Ahmad Bilal sentiasa dekat di hati rakyat
Difahamkan, bas dua tingkat itu telah mula digunakan untuk kegunaan petugas dan jentera membantu calon PN DUN Serkam itu berkempen bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sejak 10 November lalu.
Sebagai rekod, Ahmad Bilal dari Parti Se-islam Malaysia (Pas) akan menghadapi perlawanan empat penjuru menentang calon daripada Bebas, Norazlanshah Hazali, Muhammad Khomeini Kamal (PH), dan Datuk Zaidi Attan (BN).–SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.