KIRA-KIRA 50 pemandu dan pengusaha lori sampah di Bukit Mertajam, Pulau Pinang hari ini mengadakan demonstrasi aman bagi membantah peraturan baharu yang diperkenalkan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).
Mereka berkumpul di hadapan bangunan MBSP kira-kira pukul 10 pagi ini bagi menyuarakan rasa tidak puas hati dan mendesak pengurusan MBSP membatalkan peraturan baharu itu yang disifatkan membebankan dan merugikan mereka.
Menurut Ketua Kumpulan Kebajikan Pemandu-Pemilik Lori Sampah Seberang Perai, Arif Ibrahim, antara yang menimbulkan rasa tidak puas hati mereka adalah kenaikan caj hampir dua kali ganda untuk membawa sampah ke tapak pelupusan sampah di Pulau Burung, Seberang Perai Selatan.
Ujarnya, sebelum ini pihaknya mengenakan caj untuk sebuah lori yang boleh memuatkan lebih tiga tan sisa pepejal dari Bertam, Kepala Batas ke tapak pelupusan sampah itu hanya RM180 kepada pelanggan.
Bagaimanapun jelasnya, kadar baharu yang dikenakan MBSP iaitu sebanyak RM70 satu tan untuk membawa sisa pepejal itu menyebabkan mereka kini terpaksa mengenakan caj lebih tinggi iaitu antara RM400 hingga RM450 kepada pelanggan.

“Peningkatan yang sangat mendadak ini pastinya akan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk dan akibatnya kami pula dipandang serong yang mana sengaja mahu mengenakan caj mahal,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyertai demonstrasi aman itu.
Menurut Arif, selain isu kenaikan harga sisa pepejal, pihaknya juga membantah cadangan MBSP untuk memasang peranti penjejak sistem penentu kedudukan hlobal (GPS) pada kenderaan mereka.
Jelasnya, peraturan itu tidak logik memandangkan mereka hanya mengutip sampah di kilang-kilang atau rumah ke rumah, bukannya mengutip sampah daripada pihak kerajaan.
Selain itu tambah beliau, pihaknya turut mendesak MBSP menyelesaikan masalah tempat pelupusan sampah di Pulau Burung yang disifatkan sangat teruk dan tidak sesuai.
“Keadaan di tapak pelupusan sampah itu amat berbahaya kepada pemandu-pemandu lori dan pekerja-pekerja MBSP sendiri kerana beberapa kejadian tidak diingini seperti kemalangan dan masalah tayar lori yang kerap tersangkut sering berlaku di situ,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mempertikaikan caj sebanyak RM10 yang akan dikenakan kepada pemandu lori setiap kali masuk untuk melupuskan sisa di tapak tersebut berbanding RM20 untuk sepanjang hari seperti sebelum ini. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.