Mereka kaut untung, saya dapat apa?

“SAYA bukan nak kaya tapi risau juga kalau nama digunakan sewenang-wenangnya oleh pihak tidak bertanggungjawab. Mereka mengaut untung tapi saya tak dapat apa-apa,” kata Hafiz Hamidun mengulas mengenai isu penyalahgunaan nama.

Jelasnya semua pihak perlu sedar dengan perkara ini dan jangan sesekali membiarkan perkara ini berlaku begitu sahaja terutama kepada yang menjalankan perniagaan.

Dia sendiri sudah berhadapan dengan isu ini apabila ada gedung fabrik yang mengeksploitasi nama ‘Hafiz Hamidun’ empat tahun lalu sehingga memberikan banyak pengajaran dan pengalaman baharu kepadanya.

“Ada orang mengaut keuntungan menggunakan nama kita tanpa disedari. Sebab itu saya mahu semua pihak berhati-hati dan sentiasa peka dengan hal berkaitan hak milik,” katanya.

Terdahulu Hafiz mengambil tindakan undang-undang kepada sebuah gedung fabrik tempatan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kerana menyalah gunakan namanya tanpa kebenaran.

Meskipun sudah empat tahun berlalu, kes tersebut masih berjalan apabila syarikat tersebut mengemukakan rayuan tahun lalu namun pihak mahkamah menolak rayuan dan memberikan kemenangan kepadanya.

Mengakui proses turun naik mahkamah memberikan pelajaran baharu buat dirinya, Hafiz menasihati rakan-rakan artis dan individu yang lain agar peka dan berwaspada dalam segala hal terutama penggunaan nama untuk perniagaan.

“Saya sudah laluinya dan kalau boleh janganlah perkara ini berlaku kepada orang lain juga. Kalau ada yang sudah terkena tetapi tidak mahu mengambil tindakan, terpulang kepada mereka.

“Saman yang dikemukakan ini juga menjadi peringatan kepada syarikat lain juga untuk tidak menggunakan nama individu popular tanpa kebenaran. Seelok-eloknya berbincanglah terlebih dahulu sebelum bekerjasama, itu lebih baik,” tambahnya lagi. – SB