
CALON-calon yang diketengahkan oleh Pakatan Harapan (PH) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 20 November ini bukan pilihan pengundi dan penyokong pakatan tersebut.
Menurut Pengerusi Pro-Keadilan Sarawak, Iswardy Morni, keputusan pimpinan PKR mencalonkan pemimpin lompat parti atau ‘katak: iaitu Datuk Seri Idris Haron (calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Asahan), Datuk Nor Azman Hassan (calon DUN Pantai Kundor) bakal memberikan masalah kepada PH dan rakyat Melaka jika pakatan itu memenangi PRN negeri kelak.
Tambah beliau, pemilihan Datuk Seri Shamsul Iskandar Md.Akin (DUN Paya Rumput) juga satu kesilapan besar kerana Ketua Penerangan PKR itu tidak disukai oleh pengundi baik di kawasan Parlimennya di Hang Tuah Jaya mahupun di kawasan yang ditandingi dalam PRN Melaka kali ini.
Jelas beliau, masalah akan timbul jika PH menang kerana kumpulan ini akan saling berebut untuk menjadi Ketua Menteri kerana itulah yang mereka idamkan sejak sebelum dicalonkan.
“Akar umbi merasakan pemilihan mereka ini merupakan satu keputusan yang amat tidak bijak kerana tidak mustahil mereka itu akan mengkhianati PH jika tidak diberikan jawatan Ketua Menteri,” katanya dalam siaran di laman Facebook beliau pada 6 November lepas.
Dalam pada itu, Ketua Gabungan Anti Rasuah Nasional (Garas), Dr. Maimunah Sargeant yang turut menyertai siaran langsung tersebut pula mengatakan Shamsul Iskandar tidak sepatutnya dijadikan calon dalam PRN Melaka.
Ini kerana Shamsul Iskandar, kata beliau, tidak melaksanakan tugas beliau sebagai Ahli Parlimen di Hang Tuah Jaya dan tidak disukai oleh pengundi di Paya Rumput.
“Jumpa dengan pengundi pun dia tidak berani, adakah calon yang macam ini anda mahukan?
“Berani mengatakan kepada Shamsul Iskandar – tidak layak untuk menjadi calon,” kata beliau.
PRN Melaka terpaksa diadakan ekoran pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 4 Oktober lepas susulan empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) menarik sokongan terhadap kepimpinan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali.
Empat ADUN berkenaan ialah Datuk Seri Idris Haron (BN-Sungai Udang), Datuk Nor Azman Hassan (BN-Pantai Kundor), Datuk Norhizam Hassan Baktee (Bebas-Pengkalan Batu) dan Datuk Noor Effandi Ahmad (Bersatu-Telok Mas). – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.