1,474 cerun berisiko dikenal pasti di lima negeri

SEBANYAK 1,474 cerun yang mempunyai tahap bahaya sederhana sehingga sangat tinggi dikenal pasti di lima negeri yang dijangka mungkin terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL).

Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof berkata cerun berisiko itu terletak di Jalan Persekutuan kritikal di Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor dan Negeri Sembilan seperti Jalan Persekutuan FT1, FT3, FT4, FT5, FT8, FT86, dan FT185.

“Ia dikenal pasti melalui Peta Bahaya dan Risiko Cerun oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk cerun-cerun di sepanjang Jalan Persekutuan di Malaysia pada 2020,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai persediaan kementerian dalam mengenal pasti jalan dan cerun yang berpotensi runtuh bagi menghadapi musim tengkujuh dalam masa terdekat ini terutama di negeri-negeri Pantai Timur.

Fadillah berkata KKR juga memantau cerun di lebuh raya khususnya di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak iaitu Lebuhraya Pantai Timur (LPT) Fasa 1 dan LPT Fasa 2 sekali gus mengambil beberapa langkah persediaan sepanjang lebuh raya itu bagi memastikan cerun-cerun di lebuh raya berada pada tahap yang baik.

Beliau berkata jalan kritikal dikenal pasti melalui kriteria seperti jalan alternatif melebihi 50 km, jalan utama, kawasan tanah tinggi, bilangan cerun kategori ‘very high and high hazard’ yang banyak dan laluan yang sering berlaku cerun runtuh.

Sementara itu, Fadillah berkata KKR bersama Cawangan Kejuruteraan Cerun (CKC) Jabatan Kerja Raya (JKR) memasang Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh (EWS) di lokasi berisiko melalui penggunaan sistem telemetri yang akan memberi amaran awal apabila ‘rainfall index’ pada tolok hujan yang dipasang melebihi tahap amaran.

Katanya, terdapat 48 stesen tolok hujan di seluruh negara iaitu 36 stesen terletak di Semenanjung Malaysia dan dipasang di Jalan Persekutuan yang berpotensi berlaku cerun runtuh seperti di FT59, FT185, FT4, FT55, FT102 dan beberapa lagi laluan kritikal.

Beliau berkata KKR juga telah menghadiri beberapa siri libat urus bersama Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) serta agensi lain dalam persediaan menghadapi MTL 2021/2022.

Negeri Pantai Timur dijangka menghadapi MTL yang kebiasaan akan bermula pada Oktober hingga Mac tahun berikutnya dengan beberapa siri kejadian hujan lebat dalam tempoh itu.

Fadillah berjanji KKR sentiasa memastikan kesiapsiagaan yang tinggi dalam menghadapi bencana MTL setiap tahun dan semua JKR negeri serta daerah diarah untuk melaksanakan langkah berjaga-jaga dan membuat persiapan rapi dari aspek tenaga kerja, jentera dan logistik.

— BERNAMA