Pandangan dan penilaian golongan muda penting – Muhyiddin

MEMANDANG rendah terhadap apirasi dan tahap penilaian pengundi muda menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) merupakan satu kesilapan besar bagi mana-mana parti politik sekalipun.

Justeru, kata bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, semua sistem politik dan pemimpin politik dalam negara mesti tidak mengetepikan aspirasi anak muda dalam memahami dan menyesuaikan kehendak rakyat umum.

Beliau menjelaskan pemimpin-pemimpin politik perlu memahami pemikiran orang muda kerana golongan tersebut mempunyai pemikiran yang berbeza.

“Orang muda ada cita-cita, mereka ada kemahuan, mereka mahukan pekerjaan, mereka mahu mendapat gaji yang tinggi, mereka lihat negara lain boleh begitu maju, mereka persoal kenapa Malaysia jauh kebelakang.

“Bila keadaan ini berlaku, orang muda akan salahkan kerajaan, mereka akan salahkan orang politik, yang asyik berpolitik, gila kuasa, jatuhkan kerajaan, jatuhkan perdana menteri, apa kerja itu, tak ada kerja lain ke?” katanya.

Muhyidddin juga mengakui tidak mengetahui penilaian orang muda terhadap beliau di Parlimen Pagoh yang diwakilinya.

Beliau berkata demikian menerusi program bual bicara Dialog Malaysia Prihatin anjuran Yayasan Setia Negara Malaysia (YASENM) pada malam Sabtu. – SB