LEBIH 100 ketua bahagian UMNO di seluruh negara didakwa bersepakat untuk meminta Presiden parti itu, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berundur dan ‘berehat’ pada pemilihan parti akan datang.
Perkara itu didedahkan Ketua UMNO Bahagian Bakri, Mohd Fuad Tukirin pada saat pucuk kepimpinan UMNO diketuai Ahmad Zahid sedang memperhebatkan gerakan untuk menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Pada 3 0gos lalu, mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO telah mengarahkan kesemua ahli Parlimen UMNO menarik sokongan daripada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin serta-merta.
Bagaimanapun, Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (RoS) kemudiannya mengeluarkan surat memaklumkan tidak mengiktiraf keputusan UMNO untuk menangguhkan pemilihan parti itu selama 18 bulan, selepas 30 Jun lalu.
Jawapan terkini RoS itu secara tidak langsung menyebabkan segala keputusan MKT selepas 30 Jun turut dianggap tidak terpakai, termasuk ketetapan ahli-ahli Parlimen parti itu menarik sokongan daripada kerajaan PN serta-merta.
Menurut Mohd Fuad, persepakatan ketua-ketua UMNO bahagian itu tercetus setelah pucuk kepimpinan parti diketuai Ahmad Zahid dilihat melakukan kesilapan dengan tidak mengadakan pemilihan atau menangguhkan proses pemilihan parti sebelum tamat tempoh penggal perjawatan MKT sebelum 30 Jun.
Mereka juga kecewa dengan keputusan Ahmad Zahid mengarahkan ahli-ahli Parlimen UMNO menarik sokongan terhadap kerajaan PN serta-merta, pada saat rakyat berdepan kesusahan akibat krisis pandemik Covid-19.
Ketua-ketua UMNO bahagian turut berpandangan tindakan itu akan menyebabkan pemimpin UMNO dilihat tidak bertanggungjawab terhadap rakyat pada saat kerajaan PN bertungkus-lumus mendepani krisis Covid-19 yang semakin serius.
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.