Pemilihan UMNO perlu dibuat sebelum akhir tahun ini – ROS

UMNO perlu mengadakan pemilihan parti selewat-lewatnya sebelum hujung tahun ini berikutan pemegang jawatan Majlis Tertinggi bagi penggal 2018/2021 tamat pada 30 Jun lalu.

Itu adalah tuntutan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kepada UMNO.

Bercakap kepada akhbar Mingguan Malaysia, Ketua Pengarah ROS Jasri Kassim berkata, pemilihan hanya dibenarkan untuk ditangguhkan sebelum 31 Disember.

Katanya, parti itu juga perlu mengemukakan permohonan penangguhan kepada ROS dalam waktu terdekat.

Jumaat lalu ROS memutuskan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan sebagai tidak sah.

ROS dalam kenyaataan memberitahu, penangguhan tidak dibenarkan kerana tempoh sah pemegang jawatan parti itu bagi penggal 2018-2021 telah tamat pada 30 Jun lepas.

“Berdasarkan minit mesyuarat MKT UMNO pada 7 Julai 2021 untuk menangguhkan Pemilihan MKT, bahagian dan cawangan UMNO selama 18 bulan, JPPN berpandangan bahawa keputusan tersebut adalah tidak sah.

“ROS bertanggungjawab untuk memastikan semua aktiviti dan pentadbiran pertubuhan berdaftar dilaksanakan sejajar dengan Perlembagaan Pertubuhan masing-masing yang tidak bercanggah dengan Akta Pertubuhan 1966 atau undang-undang negara,” katanya.

Sehubungan itu UMNO perlu menetapkan tarikh untuk mengadakan pemilihan MKT mengambil kira pematuhan prosedur operasi standard (SOP).