SEORANG bayi berusia 16 hari maut apabila kereta yang dipandu bapanya bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 24 Jalan Beruas-Ayer Tawar, di Manjung, Perak, hari ini.
Bayi lelaki itu berada dalam pangkuan ibunya meninggal dunia di tempat kejadian, manakala ibunya patah tangan serta kaki.
Dalam kejadian jam 7 pagi itu, keluarga berkenaan menaiki kereta PERODUA Kancil bertembung dengan lori membawa muatan tanah.
Kejadian itu menyebabkan bapanya juga patah kaki. Mangsa lelaki dan wanita itu masing-masing berusia 34 tahun.
Tiga lagi kanak-kanak lelaki berusia antara dua hingga sembilan tahun yang juga anak pasangan itu turut berada dalam kenderaan sama.
Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Nor Omar Sappi berkata, kereta berkenaan dari arah Beruas menghala ke Ayer Tawar, manakala lori terbabit dipandu seorang lelaki dari arah bertentangan.
Menurutnya, kenderaan dinaiki keluarga terbabit dilaporkan gagal mengelak sekumpulan lembu yang tiba-tiba melintas jalan lalu terlanggar haiwan berkenaan.
“Kereta hilang kawalan lalu terbabas ke laluan bertentangan dan bertembung dengan lori. Kejadian itu menyebabkan seorang bayi lelaki berusia 16 hari yang berada dalam pangkuan ibunya yang juga penumpang hadapan kereta berkenaan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“Suami isteri itu cedera parah dan dibawa ke Hospital Seri Manjung untuk rawatan lanjut, manakala tiga anak lelaki mereka yang juga penumpang belakang kereta cedera ringan,” katanya dalam kenyataan, hari ni.
Beliau berkata, pemandu lori berkenaan tidak mengalami kecederaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Tawar, Suhaimi Nijar, berkata seorang wanita di kerusi penumpang hadapan kereta tersepit di tempat duduknya.
“Bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dengan menggunakan peralatan khas sebelum diserahkan kepada pasukan perubatan. Ketika itu bayi itu sudah dikeluarkan dari kenderaan,” katanya. – SB
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.