AHLI Parlimen yang hadir di Dewan Rakyat mengenakan pakaian Batik Malaysia berwarna-warni pada persidangan berlangsung hari ini.
Antara dilihat berbusana batik adalah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri serta kebanyakan Ahli Parlimen lain.
Pada persidangan lepas, Jawatankuasa Dewan bersetuju dengan cadangan pemakaian baju batik Malaysia berlengan panjang bagi Ahli-Ahli Parlimen ketika menghadiri persidangan Dewan Rakyat setiap hari Khamis bertujuan mendukung warisan negara.
Dalam pada itu, Nancy ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri memuji Ahli-Ahli Parlimen yang mengenakan pakaian Batik Malaysia.
“Bagi meraikan hari bersejarah pemakaian batik di Dewan Rakyat hari ini, saya dengan sukacita ingin memaklumkan Yang Berhormat dan semua Keluarga Malaysia akan mendapat rebat tunai bernilai RM30 bagi setiap pembelian bernilai RM100 yang dibelanjakan di premis atau pusat jualan kraftangan seluruh Malaysia,” katanya. – Bernama
Leave a Reply
You must be logged in to post a comment.