Perhilitan rampas 12 tarantula

SEBANYAK 12 labah-labah tarantula pelbagai spesis dirampas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan dalam satu pemeriksaan di sebuah premis di Seremban, Negeri Sembilan.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhilitan Semenanjung Malaysia semalam, kesemua hidupan liar terbabit disimpan tanpa sebarang dokumen penyimpanan yang sah oleh pihaknya.

Satu laporan polis dibuat di Balai Polis Seremban berkaitan operasi ini yang dijalankan pada 6 Ogos lalu.

Katanya, kesemua barang rampasan dibawa ke Jabatan Perhilitan Negeri Sembilan untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, memetik laporan Harian Metro, Pengarah Perhilitan Negeri Sembilan Nurul Ermi Ramli berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung rampasan berkenaan.

“Kami masih dalam proses pengecaman spesis labah-labah berkenaan dan ia mengambil sedikit masa. Siasatan lanjut masih berjalan sehingga kini.

“Kami juga sudah mengambil keterangan daripada pemilik serangga berkenaan iaitu seorang lelaki berusia dalam lingkungan 20-an. 

“Siasatan awal mendapati labah berkenaan disimpan sebagai haiwan ternakan. Kes disiasat mengikut Seksyen 60 Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 kerana menyimpan hidupan liar,” katanya semalam. – SB