Notice: Function _load_textdomain_just_in_time was called incorrectly. Translation loading for the google-analytics-for-wordpress domain was triggered too early. This is usually an indicator for some code in the plugin or theme running too early. Translations should be loaded at the init action or later. Please see Debugging in WordPress for more information. (This message was added in version 6.7.0.) in /home/satuberita.my/public_html/wp-includes/functions.php on line 6121
Johor, Terengganu beralih ke Fasa Empat PPN -

Johor, Terengganu beralih ke Fasa Empat PPN

JOHOR dan Terengganu akan beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 25 Oktober (Isnin), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Menurut Ismail Sabri, peralihan tersebut mengambil kira penilaian risiko semasa yang dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Prosedur operasi standard (SOP) bagi negeri-negeri yang memasuki Fasa 4 adalah sama dengan sebelum ini.

“Keterangan SOP terkini akan dikemas kini oleh MKN di laman sesawang rasmi   www.mkn.gov.my,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur pada Jumaat.

Perdana Menteri turut berkata, Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik COVID-19 hari ini juga telah bersetuju kemudahan vaksinasi lengkap untuk golongan dewasa, turut diperluas kepada golongan remaja yang telah divaksin lengkap.

“Ini bermakna syarat vaksinasi lengkap bagi remaja berumur antara 12 hingga 17 tahun, akan dinyatakan dalam semua SOP,” katanya.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata, ia tidak akan dilaksanakan serta merta, sebaliknya pihak kerajaan akan menyelaraskan kemudahan-kemudahan berkaitan.

“Ia juga memberi golongan remaja ‘grace period’ selama tiga minggu atau sehingga pertengahan bulan November.

“Tempoh ini adalah bagi memastikan kira-kira 80 peratus remaja yang telah menerima dos pertama ketika ini, selesai divaksin lengkap,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri kerajaan menyeru rakyat memanfaatkan kelonggaran-kelonggaran yang diberikan ini dengan penuh disiplin dan rasa tanggungjawab.

Tegasnya, kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik ini, tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan semata-mata.

Sebaliknya, beliau berkata, ia juga sangat bergantung kepada tahap pematuhan masyarakat kepada SOP yang telah ditetapkan.

“Justeru, pakai pelitup muka, amalkan penjarakan fizikal dan sentiasa menjaga kebersihan dan keselamatan diri,” katanya. – Bernama